Monday, August 26, 2019
updated 3:04 AM UTC, Aug 26, 2019

Gempa 7.2 skala Richter berlaku di Maluku, tiada amaran tsunami

  • Published in Berita Dunia

JAKARTA - Gempa bumi bermagnitud 7.2 pada skala Richter menggegarkan kawasan kepulauan Maluku, Indonesia, petang ini, yang turut disusuli beberapa gempa susulan melebihi 5 skala Richter.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa bumi yang berlaku pada 4.10 petang waktu Indonesia Barat (WIB), berpusat di 62km di Timur Laut Labuha-Malut, pada kedalaman 10 kilometer (km) di Laut Maluku.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Setakat 5.26 petang WIB, lima gempa susulan bermagnitud antara 5.2 hingga 5.8 skala Richter dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam satu kenyataan meminta rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu, mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter berlaku di Halmahera, Indonesia pada 5.10 petang ini.

Menurut kenyataan itu, pusat gempa itu terletak 157km Tenggara dari Tidore, Indonesia pada kedalaman 10 km.

Tiada ancamanan tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu.