Logo

Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan selama 5 jam di hospital, London.

Foto FB Dr. Amalina

 

LONDON : Bayi sembilan bulan yang menghidap Tumour Sel Kuman, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, selamat menjalani pembedahan selama 5 jam untuk membuang ketumbuhan pada mulutnya di sebuah hospital di London semalam.

Menurut wartawan Zaharah Othman di London. Ketumbuhan seberat 200 gram itu berjaya dibuang oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diketuai Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan Profesor David Dunaway.

Doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Julian Ong, seorang daripada empat petugas perubatan yang mengendalikan pembedahan itu, berkata misi' membuang ketumbuhan pada mulut bayi terbabit berjalan lancar.

Ia juga berlangsung dengan lebih baik daripada yang dijangka.

Berdasarkan maklumat awal, Dr Ong yang berasal dari Pulau Pinang menjelaskan, sampel biopsi' terhadap tumor pada mulut bayi terbabit terdiri daripada komponen sel kanser dan bukan kanser.

Menurut Dr Ong, keutamaan kini terarah kepada usaha untuk merehatkan Ainul menerusi jagaan rapi petugas perubatan supaya luka pembedahan berupaya pulih secepat mungkin, sebelum kesihatan bayi berkenaan dinilai semula.

Berita baik mengenai kejayaan pembedahan tersebut turut dikongsi oleh doktor pakar pelatih surgikal Dr Amalina Bakri menerusi laman instagramnya hari ini.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.