Logo

Penjara 15 Tahun, Seludup Anggota IS Dari Perancis

Perancis - Mahkamah Perancis menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang rakyat negara itu, yang dianggap antara individu penting yang merekrut anggota baharu militan IS atau Daesh. 

Salim Benghalem, 35 tahun yang dibicarakan tanpa kehadirannya dituduh menyeludup anggota baharu IS dari Perancis ke Syria pada 2013. 

Turut didapati bersalah, enam tertuduh lain, dengan seorang daripadanya dibawa ke mahkamah. 

Waran tangkap antarabangsa dikeluarkan terhadap Benghalem pada Mei tahun lalu, namun sehingga kini dia masih bebas dan dipercayai berada di Syria. 

Berdasarkan satu nota yang diterbitkan Jabatan Negara Amerika Syarikat pada September 2014, Benghalem dilabel sebagai anggota Daesh yang melaksanakan hukuman mati bagi pihak kumpulan militan itu. 

Dia juga dipercayai mendalangi serangan terhadap pejabat akhbar satira, Charlie Hebdo di Paris, Januari tahun lalu. 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.