Saturday, February 24, 2018
vital-top
updated 7:58 AM UTC, Feb 24, 2018

AS Ikrar Dana US$200 Juta Sokong Usaha Gabungan Global Perangi Daesh

  • Published in Berita Dunia

KUWAIT CITY - Amerika Syarikat (AS) berjanji memberi dana sebanyak US$200 juta untuk membantu usaha Gabungan Global memerangi kumpulan militan Daesh serta menghalang mereka kembali semula ke Syria dan Iraq.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, berkata Daesh akan sentiasa menjadi ancaman dan gangguan kepada seluruh dunia.

Beliau kata demikian  ketika berucap di pembukaan Mesyuarat Peringkat Menteri Gabungan Global Menentang ISIS/Daesh di Istana Bayan di sini pada Selasa.

Mesyuarat itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) yang berlangsung tiga hari mulai Isnin.

Mengulas lanjut, Tillerson berkata gabungan antarabangsa itu berjaya membebaskan 98 peratus wilayah Iraq daripada penguasaan Daesh dan mengembalikan semula tempat perlindungan rakyat di negara tersebut.

Beliau berkata Gabungan Global perlu terus berusaha bagi memastikan Daesh tidak akan kembali ke Iraq dan Syria.

Katanya, AS akan terus menjadi penyumbang terbesar dalam memberikan bantuan kemanusiaan di Syria dan bekerjasama dengan Gabungan Global serta rakan kongsi tempatan bagi bantuan ketenteraan di negara itu.