Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 2:14 PM UTC, May 24, 2018

Bom Era Perang Dunia Kedua Yang Belum Meletup Seberat 500 Kilogram Ditemui Berhampiran Sungai Thames.

  • Published in Berita Dunia

LONDON - Kesemua penerbangan tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang London City dibatalkan selepas bom era Perang Dunia Kedua yang belum meletup seberat 500 kilogram ditemui berhampiran Sungai Thames.

Polis Metropolitan membersihkan kawasan seluas 214 meter persegi itu dari bom, termasuk beberapa jalan dikawasan perumahan penduduk.

Pada masa sama, pegawai bekerjasama dengan pakar dari Tentera Laut di Raja untuk memindahkan bom tersebut.

Polis berkata, bom ditemui Ahad lalu di dok "George V" semasa kerja yang telah dirancang di Lapangan terbang City.

Mereka mengenal pasti ia sebagai peluru berpandu sepanjang 1.5 meter yang terdampar dalam lumpur yang tebal dan padat.

Pegawai tempatan menawarkan penginapan sementara kepada penduduk sambil berkata, kerja-kerja untuk memindahkan bom akan diteruskan hari ini (Selasa) waktu tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif lapangan terbang, Robert Sinclair berkata, beliau sedar penumpang akan berasa kurang senang tetapi lapangan terbang akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

London City, lapangan terbang antarabangsa yang paling kecil di London, mengendalikan 4.5 juta penumpang tahun lalu.

Popular dalam kalangan ahli perniagaan, ia terletak di kawasan dok kapal, timur London - kawasan yang teruk di bom semasa Perang Dunia Kedua dahulu.

((SUMBER : AFP))