Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 12:18 AM UTC, May 24, 2018

Prayut Tidak Beri Perhatian Kepada Penyebaran Gambar Terkini Yingluck Dan Thaksin

  • Published in Berita Dunia

BANGKOK  – Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha tidak memberi perhatian kepada foto terkini yang menunjukkan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berada bersama abangnya, Thaksin di Beijing, China.

Menurut beliau, kehadiran kedua-dua beradik itu adalah urusan negara asing.

Beliau berkata beliau kepada pemberita di sini ketika ditanya mengenai penyebaran foto terkini yang menunjukkan keberadaan kedua-dua bekas Perdana Menteri yang dikehendaki itu.

Foto itu dikatakan menunjukkan kedua-dua bekas Perdana Menteri berada di sebuah pusat membeli-belah kerana membeli-belah untuk persiapan menjelang Tahun Baharu Cina.

 Yingluck yang mengikut jejak langkah abangnya yang melarikan diri dari negara itu, meninggalkan Thailand pada Ogos tahun lepas untuk melepaskan diri daripada hukuman penjara yang dijatuhi oleh Mahkamah Agung Thailand kerana kecuaian dalam skim subsidi beras yang dilaksanakan semasa pentadbirannya.

Sejak menyelinap keluar dari negara itu, Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu terus membisu mengenai keberadaannya sekarang walaupun tersebar foto menunjukkan beliau berada di London.

Prayut juga ditanya sama ada kelibat kedua-dua beradik itu baru-baru ini adalah serentak dengan demonstrasi kira-kira 500 orang di Monumen Demokrasi Bangkok Sabtu lepas menuntut pilihan raya diadakan.

 

Sementara itu, Menteri Luar Don Pramudwinai yang bertemu rakan sejawatannya dari Britain, Boris Johnson di sini hari ini berkata beliau tidak menerima apa-apa maklumat rasmi berhubung foto terkini yang menunjukkan kelibat Yingluck dan abangnya, Thaksin di Beijing seperti didakwa.

Beliau juga berkata Setiausaha Luar Britain itu yang kini dalam lawatan ke Thailand dan beliau tidak membincangkan mengenai Yingluck.

((BERNAMA))