Tuesday, 29 September 2020

updated 9:54 AM UTC, Sep 29, 2020

Laporan Khas

Kuih raya dari tirai besi


KOTA KINABALU, 28 Mei - 
Setiap kali menjelang Hari Raya, pelbagai jenis kuih raya pasti menjadi pilihan.

Tahun ini, walaupun Aidilfitri diraikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun tempahan kuih raya masih berjalan seperti biasa.

Ini termasuklah di Penjara Wanita Kota Kinabalu.

Wartawan RTM, Salma Sali, mendekati banduan yang mengusahakan kuih raya dari tirai besi.

Setiap hari, banduan wanita yang bertugas di bahagian Pastri Jabatan Penjara Wanita ini akan menyiapkan tempahan yang diterima sejak sebelum bulan Ramadan lagi.

17 jenis biskut raya, produk sejuk beku serta 12 jenis kek dan pastri dijual hasil tangan mereka.

Menurut Pengarahnya, Norneelah Shukor, tahun ini tempahan lebih menggalakkan apabila pihaknya menerima permintaan lebih 3,000 balang kuih raya berbanding 2,500 balang tahun lepas.

Beliau memaklumkan, sasaran jualan di galeri penjara ini lebih kepada kuih raya memandangkan tempahan menjahit baju raya yang lazimnya menggalakkan tidak dibuka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan PKPB.

Proses pembuatan kuih raya dikawal selia dan dipantau sepenuhnya pegawai penjara dengan penekanan kepada tahap kebersihan produk makanan.

Banduan yang terlibat juga melalui saringan kesihatan dan mendapat Suntikan Tifoid.

Salah seorang banduan, Lin, yang merupakan kakak kepada lapan adik beradik yang ditahan atas kesalahan pecah amanah, berazam untuk membuka perniagaan pastri dan kek sebaik keluar.

"Saya sangat bersyukur, mungkin di luar saya tidak dapat belajar semua ini," jelasnya yang terlibat dalam pembuatan kuih raya tersebut.

Sementara itu, Rina, yang telah ditahan atas kesalahan dadah, redha dengan hukuman yang dikenakan dan berazam menjadikan pengalaman hidup di penjara sebagai suatu yang penuh bermakna untuk mengubah hidup.

"Selama ini, saya abaikan anak-anak dan keluarga saya. Saya hanya fikir untuk berseronok sahaja."

"Setelah menjalani kehidupan di sini, baru saya sedar, saya telah banyak membuang masa di luar sebelum ini," kesal ibu tunggal kepada 4 orang anak berkenaan.

Bagi Nor, banduan berumur 26 tahun ini pula yang menjalani hukuman kerana kesalahan merompak menyifatkan pengalaman hidup di penjara menjadikannya lebih mendalami pelbagai ilmu termasuk ilmu agama.

Norneelah Shukor menasihatkan kepada orang ramai untuk memberi peluang kedua kepada golongan ini.

"Mereka juga adalah manusia biasa, tidak terlepas dari kesilapan."

"Cukuplah mereka dihukum di dalam penjara. Apabila mereka dibebaskan, berilah mereka peluang untuk hidup seperti biasa."

Kesalahan yang pernah mereka lakukan adalah suatu kisah lampau.

Apa yang penting adalah sokongan, dorongan serta penerimaan terbuka masyarakat dan keluarga terhadap golongan bekas banduan untuk menjalani kehidupan baharu.


  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Laporan Khas
  • Jumlah paparan: 540