Sunday, 29 November 2020

updated 2:27 PM UTC, Nov 29, 2020

Laporan Khas

Pawagam dibuka hari ini, dengan SOP dan normal baharu


KUALA LUMPUR, 1 Julai-
Selepas hampir tiga bulan, kini giliran pawagam pula dibenarkan untuk beroperasi semula. Dibuka semula hari ini dengan normal baharu, ikuti laporan wartawan kami, Ravin Sanvugam yang membuat tinjauan di salah satu pawagam di negara ini.

Menurut Ravin, para petugas pawagam sedang giat melakukan proses pembersihan selepas tayangan. 

Tambahnya, proses pembersihan di dalam dewan pawagam perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Masa yang diperuntukkan kepada petugas adalah 30 minit.

Syarikat pawagam sudah menyediakan penjarakan tempat duduk dan pelanggan sama sekali tidak dibenarkan untuk duduk di kerusi yang telah ditandakan petugas.

Selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), pengurusan pawagam akan memberi taklimat SOP sebelum sesi tayangan bermula.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Golden Screen Cinemas (GSC), Koh Mei Lee, pihaknya komited untuk memastikan penonton sentiasa mengamalkan kebersihan dan mematuhi SOP.

Antara kawalan yang dilaksanakan adalah kaunter saringan suhu, penjarakan sosial dan imbasan aplikasi My Sejahtera.

Pengunjung di bawah umur 12 tahun dan lebih daripada 60 tahun tidak dibenarkan masuk.

Juga, kakitangan syarikat dan pelanggan yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius.

Salah seorang pengunjung, Asmirul Radzuan, memberikan maklum balas yang positif atas pelaksaan SOP berkenaan.

"Bagi saya, pelaksanaan penjarakan sosial membuatkan saya berasa selesa kerana tiada penonton yang duduk di sebelah saya."

Tidak kurang pula ada yang merasakan keterujaan.

"Rasa seronok hendak menonton filem," luah pengunjung, Nadiah Nordin yang mengenakan pelitup separuh muka.

Berdasarkan tinjauan Ravin, syarikat pengendali pawagam sudah membuat persiapan penuh untuk beroperasi semula.

Ia sekaligus memberi keyakinan dan keselesaan kepada penonton untuk terus datang ke pawagam seperti biasa.

 

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Laporan Khas
  • Jumlah paparan: 734