Sunday, 17 January 2021

updated 1:37 PM UTC, Jan 17, 2021

COVID-19: Pembelian vaksin langkah terbaik pihak berkepakaran

  • Published in Laporan Khas


KUALA LUMPUR, 16 Disember- 
Pembelian Vaksin COVID-19 yang bermula tahun hadapan merupakan satu keputusan terbaik daripada pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, sebagai umat Islam, dalam situasi mendepani COVID-19, penawar perlu dicari berpandukan kepada mereka yang mempunyai kepakaran khususnya dalam bidang kesihatan.

Beliau berharap vaksin tersebut dapat menjadi satu daripada kaedah untuk membasmi pandemik itu.

"Memutuskan rantaian wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat merupakan perkara yang mesti dilakukan, Maqasid Syariah untuk menjaga nyawa."

"Dalam kaedah Fiqh turut mengatakan bahawa apa sahaja tindakan pemerintah untuk rakyat mestilah bergantung dengan kepentingan masyarakat, maslahah umat," katanya ketika ditemui di Seremban.

Orang awam yang ditemui rata-ratanya menzahirkan rasa terima kasih dan lega dengan pemberian vaksin yang akan mula diagihkan tahun hadapan.

Salah seorangnya, Norly Moktar, sambil memanjat kesyukuran, beliau berharap agar semua rakyat dapat memperoleh manfaat vaksin itu.

"Alhamdulillah, semoga keseluruhan rakyat akan mendapat hasil yang sepatutnya dan tidak perlu risau lagi."

Harapan ini juga tidak terkecuali kepada mereka yang telah pun dijangkiti.

"Harapan saya, semoga vaksin ini dapat mengubati mereka yang telah dijangkiti, semoga ia dapat memberi manfaat kepada semua orang," kata Ahmad Kamal Muhamad.


Bagi Fauziah Hanim Mohd Nor pula, beliau optimis vaksin tersebut dapat memutuskan rantaian wabak COVID-19.

"Sejujurnya saya amat bersyukur."

"Ini adalah berita baik, apabila vaksin mula diedarkan, mungkin ianya dapat membantu mengurangkan jangkitan wabak ini," tambahnya.

Selain itu, ada juga rakyat yang memuji tindakan dan usaha kerajaan.

"Terima kasih kepada menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kementerian Kesihatan Malaysia yang banyak membantu menangani kes-kes positif dalam negara."

"Tidak dilupakan, usaha-usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menguruskan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia," demikian luah Mohd Afifi Mohd Saad.