Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

Ucapan Pembukaan Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri APEC 2020

  • Published in Laporan Khas


KUALA LUMPUR, 16 November- 
Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 berlangsung mulai hari ini hingga Jumaat ini.

Bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri APEC 2020, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memberikan Ucapan Pembukaan selaku Pengerusinya.

Berikut merupakan Ucapan Pembukaan tersebut;

Tuan-Tuan Yang Terutama, rakan-rakan sejawatan, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Pengerusi ABAC 2020, para pemerhati, rakan-rakan yang dihormati, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


Sesungguhnya, satu penghormatan untuk saya mengucapkan selamat datang kepada semua ke Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) yang diadakan secara maya buat pertama kalinya.

Sememangnya, kita merasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk bertemu secara fizikal di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, bagi membantu menghidupkan suasana, kami kongsikan pemandangan dan panorama Kuala Lumpur secara digital, dan saya merasa cukup gembira melihatnya dipertonton kepada anda semua.

Mesyuarat hari ini mengambil tempat hampir di penghujung tahun kepengerusian Malaysia dan ia sememangnya satu pengalaman yang menakjubkan. Kita kekal menunjangi, mengutamakan dan meningkatkan pelbagai inisiatif APEC, di sebalik pelbagai cabaran dihadapi kesan pandemik COVID-19.

Ia menjadi satu perjalanan yang agak berliku, namun kita bangga dengan hakikat yang kita berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Aspek paling besar dan amat signifikan tentunya penyempurnaan tugas dan peranan bersama dalam mencipta langkah pasca Wawasan 2020. Dokumen berkaitan dirangka atas kejayaan Matlamat Bogor dan akan mencorak strategi dan hala tuju jangka panjang untuk rantau ini bertahun-tahun lagi, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua dekad lagi.

Satu penghormatan besar apabila Malaysia memimpin usaha merealisasi dokumen penting ini, yang akan mewujudkan warga Asia Pasifik yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan dengan berpaksikan masyarakat yang berkongsi kemakmuran, dan saya juga terharu dengan sokongan dan kerjasama padu diberi semua sektor ekonomi terhadap Malaysia dalam menterjemah wawasan ini.

Selain merumuskan visi, kami juga telah memajukan agenda perdagangan dan pelaburan serantau dengan terus berpaksikan APEC. Kami melakukannya ketika menguruskan cabaran akibat penularan wabak COVID-19 yang telah menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan dan mengganggu gugat landskap ekonomi global.

Meskipun begitu, kami juga diminta untuk memastikan bahawa ada fokus khusus untuk meningkatkan peranan perdagangan dan pelaburan rantau ini di sepanjang proses pemulihan ekonomi, pasca COVID-19. Komitmen tersebut bagi merealisasikan pelaburan serta perdagangan bebas dan terbuka,menunjukkan tekad kami dalam nilai APEC.

Ia menggariskan kehendak dan keyakinan Asia Pasifik untuk terus menentang dasar perlindungan dalam apa jua bentuk. Rantau ini juga akan mengukuhkan sokongan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala, pada masa terus mendokong agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Tahun ini, kami juga mengutamakan penambahbaikan perdagangan dan pelaburan, dengan menterjemahkan unsur-unsur berkenaan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, sekaligus membawa faedah yang nyata dan lebih besar terhadap kesejahteraan rakyat (rantau ini).

Justeru, kami telah menekankan kepentingan kemakmuran bersama untuk memastikan penyertaan ekonomi secara lebih berkesan membabitkan setiap peringkat masyarakat.

Tahun ini juga menyaksikan kami menghidupkan semula usaha ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, pada mendekatkan APEC kepada masyarakat.

Kami bertukar pandangan dan berkongsi maklumat mengenai tindak balas dasar dan langkah intervensi bertujuan membuka semula aktiviti-aktiviti ekonomi membolehkan para pekerja bekerja semula dan membenarkan rakyat merentas sempadan dengan memperkenalkan gelembung perjalanan; ia mengambil kira kebimbangan mengenai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua. Gelembung perjalanan ini langkah penting kerana boleh memberi nafas semula kepada masa depan sektor pengembaraan dan pelancongan.

Ia juga menjadi pusat untuk menghidupkan semula pergerakan penting dalam kalangan APEC. Kami menyatakan sokongan dalam kerjasama ekonomi dan teknikal terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) wanita, dan golongan terkesan.

Kami sedar akan keperluan untuk terus meningkatkan keupayaan dan bantuan teknikal kepada mereka yang paling terkesan dengan pandemik ini. Sekian, terima kasih.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut secara maya buat julung kalinya di ibu negara.