Sunday, 27 September 2020

updated 7:34 AM UTC, Sep 27, 2020

Laporan Khas

Mudahnya bolosi Malaysia, penyeludup licik bina laluan tikus



BUKIT KAYU HITAM, 2 Ogos- 
Lokasi dekat dengan jalanraya utama di negara jiran, menjadikan penyeludup nekad membina laluan tikus dicelah-celah kawad berduri.

Manakala tembok yang memisahkan sempadan negara, mampu dipanjat dengan tangga atau bantuan kenderaan pacuan empat roda.

Hanya 30 minit diperlukan untuk menyeludup barang atau bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk menyeberang sempadan.

Hasil tinjauan wartawan Iqwan Samsudin dan Hanim Muhili, mendapati pagar duri di sempadan Malaysia-Thailand telah pun uzur.

Pagar duri sepanjang 117 kilometer berkenaan sentiasa menjadi sasaran aktiviti haram rentas sempadan untuk dijadikan laluan tikus.

Ia bukan hanya dipotong, malah dirosakkan bagi membolehkan ia dilalui PATI serta motosikal dengan muatan barangan terutama daun ketum.

Lorong tikus tersebut telah dikenal pasti sebagai tempat paling aktif aktiviti penyeludupan.

Iqwan Samsudin, bertemu Pegawai Pemerintah Batalion 3, Pasukan Gerakan Am, Superintendan Rosman Kasman, bagi mengupas isu penyeludupan barangan dengan lebih lanjut.

"Pagar ini kawasan yang aktif dan telah dibaiki oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)."

"Namun sindiket berdegil dan mahu membawa masuk barang-barang mereka lalu menggunakan lorong ini."

"Mereka aktif menggunakan laluan ini untuk menyeludup daun ketum, dan tak mustahil juga digunakan oleh PATI untuk merentas sempadan."

Hanim Muhili, melakukan demonstrasi bagi menunjukkan kaedah yang mungkin digunakan individu yang menggunakan lorong tikus tersebut.

Dengan bantuan rakan atau meletakkan kayu, kawad duri mudah dibolosi.

"Mereka telah memotong pagar ini dan ia boleh dipasang semula, sangat mudah bagi mereka untuk masuk dari negara Thailand."

"Hanya dengan mengangkat kayu ini, mereka sudah pun berada di Chuping, Perlis."

Kawasan bertembok dalam lingkungan zon bebas cukai Bukit Kayu Hitam yang terletak 500 meter dari Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), turut menjadi sasaran.

Tembok setinggi 7 kaki yang dibina mudah dipanjat dan ditebuk bagi tujuan penyeludupan.

Menurut Iqwan Samsudin, kawasan tersebut biasanya digunakan penyeludup untuk melempar barang dari seberang ke kawasan ini.

Dikelilingi ladang kelapa sawit seluas 700 hektar, ia dijadikan lokasi penyembunyian PATI dan barangan yang masuk tanpa dokumen sah. 

Tonto dan orang tengah akan datang mengambil barang atau PATI pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelakkan aktiviti mereka dari dikesan.

Timbalan Pengarah Kastam Kedah, Abd Rahman Abd Aziz, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa impak yang positif.

"Kawasan ini berisiko tinggi sebelum PKP, namun begitu dalam fasa PKP, kawalan telah diperketatkan oleh kedua-dua pihak."

"Kawasan ini juga bebas cukai, bermakna di bawah pemerintahan Kastam ianya dianggap sebagai kawasan diluar Malaysia."

Tambahnya lagi, tembok setinggi 6-7 kaki dibangunkan oleh Operator Zon Bebas untuk mengawal aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI.

"Apabila perniagaan dibuka, kawasan ini tidak perlukan penggunaan passport, sesiapa sahaja boleh masuk dan PATI mengambil kesempatan untuk bersembunyi sehingga waktu sesuai untuk menyeberangi tembok bagi memasuki Malaysia."

Sejak Agensi Kawalan Sempadan yang menggabungkan 19 Agensi ditubuhkan, pemantauan telah dilakukan secara lebih menyeluruh menerusi Op Benteng, mencakupi lokasi-lokasi yang berpotensi menjadi lorong tikus penyeludup meloloskan diri.

Bagi Iqwan Samsudin, mungkin sudah tiba masanya fasiliti lebih menjamin perlu didirikan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terjamin.

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Laporan Khas
  • Jumlah paparan: 399