Wednesday, May 27, 2020

updated 1:35 PM UTC, May 27, 2020

Futsal ketika PKPB, 8 remaja dikompaun


KUALA BERANG, 27 Mei - 
Gara-gara kemaruk bermain futsal, lapan remaja termasuk lima pelajar sekolah menengah dikompaun RM 1,000 seorang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mereka sebelum itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sehingga tertinggal motosikal dan telefon bimbit.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud, pihaknya mendatangi kumpulan remaja itu ketika mereka bermain futsal di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang 10 malam tadi.

Sebaik disapa pihak berkuasa, mereka nekad melarikan diri.

Barangan milik remaja berkenaan kemudian dibawa ke balai.

Buntu dengan insiden, mereka menyerah diri tiga jam kemudian untuk menuntut barang yang ditinggalkan.

Semua remaja berusia antara 15 hingga 20 tahun itu kemudiannya dikompaun mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit 2020.

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Jenayah
  • Jumlah paparan: 295