Friday, July 3, 2020

updated 2:24 PM UTC, Jul 3, 2020

Tipu jual penutup mulut dan hidung


KUALA PILAH, 16 April- 
Seorang remaja perempuan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas tuduhan melakukan penipuan penjualan penutup mulut dan hidung dalam talian bulan lalu. 

Tertuduh, Nur Aina Zafirah Zulkiflee (19 tahun) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 23 Mac lalu bertempat di sebuah rumah di Berek Polis Jalan Bahau menerima kemasukan wang ke dalam akaunnya yang didapati milik Nor Alia Natasha Rahimin sebanyak RM 80.

Wang tersebut adalah hasil penipuan pembelian topeng muka atas talian dan tertuduh tidak dapat memberikan penjelasan dengan memuaskan bagaimana wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 kurungan 1, Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM 1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. 

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM 1,000 dan menetapkan 2 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes memandangkan tertuduh berumur di bawah 21 tahun dan mahkamah menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Jenayah
  • Jumlah paparan: 464