Thursday, 20 January 2022

updated 1:58 AM UTC, Jan 20, 2022

Dua lelaki didakwa atas tuduhan bunuh, culik dan menyamar

  • Published in Jenayah

PORT DICKSON, 24 November - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan membunuh dan menculik seorang juruteknik serta menyamar sebagai anggota polis di sebuah rumah di Port Dickson dua minggu lalu.

Tertuduh, M.Murugan, 44 tahun dan Wong Yon Kuan, 43 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V.Vanita.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan ikat jamin tidak dibenarkan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh bersama tiga individu yang masih bebas didapati telah membunuh dan melarikan mangsa, A.Vasuden, 39 tahun.

Seterusnya bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama tiga individu yang masih bebas menyamar sebagai penjawat awam.

Berdasarkan fakta kes, suspek yang menyamar sebagai anggota polis telah pergi ke rumah mangsa kononnya untuk siasatan kes samun.

Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa mengikutnya menaiki sebuah van namun mangsa enggan menyebabkan suspek memukul dan mengheret sebelum melarikan mangsa.