Tuesday, 26 October 2021

updated 12:33 PM UTC, Oct 26, 2021

Provokasi di PPV, dua individu ditahan

  • Published in Jenayah

BALING, 8 September - Dua individu ditahan selepas terbabit pergaduhan dengan orang awam di kawasan letak kereta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, Baling, Kedah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam kenyataan berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 27 tahun didakwa melakukan provokasi dengan orang awam yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Insiden kira-kira pukul 11.45 pagi semalam berlaku apabila salah seorang suspek tidak berpuas hati selepas ditegur orang awam kerana tindakannya memandu kereta secara melulu serta melakukan aksi ‘drift’ di kawasan PPV.

Kejadian telah mengakibatkan pergelutan antara dua suspek dengan orang awam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya serta Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987.