Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Kertas siasatan kes pembunuhan Bill Kayong dibuka semula

  • Published in Jenayah

KUCHING, 17 Julai - Kertas siasatan kes pembunuhan Setiausaha Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bill Kayong atau Allahyarham Mohd Hasbie Abdullah, enam tahun lalu akan dibuka semula.

Ini susulan penangkapan seorang lagi suspek pembunuhan, Koong Siang Ming, 26 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, SAC Lukas Aket, siasatan tersebut akan meliputi semua aspek termasuk motif dan dalang pembunuhan tersebut.

Beliau ketika dihubungi RTM mengesahkan suspek kini telah ditahan di lokap Balai Polis Miri untuk disoal siasat selepas diterbangkan dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat khas PDRM.

Suspek tiba semalam dari China, selepas diusir semula ke Malaysia oleh penguatkuasa negara itu berikutan pasport telah tamat tempoh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian pada 21 Jun 2016, Bill Kayong ditembak ketika keretanya berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kuala Baram, Miri.