Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Langgar 9 lampu isyarat dan 3 SJR, lelaki dalam keadaan bogel ditahan

  • Published in Jenayah

HULU TERENGGANU, 16 Julai - Seorang lelaki tidak berpakaian, bertindak luar kawalan dengan memecut laju kenderaannya dan melanggar sembilan lampu isyarat dan tiga sekatan jalan raya.

Buruh berusia 45 tahun itu turut melanggar tiga kenderaan termasuk dua motosikal dengan seorang penunggang dilaporkan parah.

Kejadian berlaku tengah hari semalam, dari Kampung Bukit Jong, Kuala Nerus hingga ke Kilometer 30 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebuah kereta peronda polis yang menerima maklumat tentang kejadian itu bertindak mengejar kereta suspek dan mengarahkannya berhenti, namun tidak dipedulikan.

Usaha polis mengejar suspek sejauh 42 kilometer akhirnya berjaya apabila pemandu itu memberhentikan kenderaan di kiri jalan selepas melanggar sebuah
motosikal di lampu isyarat Bukit Perah.

Semasa tangkapan dilakukan, telah berlaku pergelutan kerana suspek yang dipercayai mabuk bertindak agresif.

Suspek yang mengalami kecederaan ringan itu seterusnya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu.