Wednesday, 21 April 2021

updated 7:07 AM UTC, Apr 21, 2021

Awas, tular iklan palsu penipuan jualan vaksin COVID-19

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Polis mengesahkan telah menerima dua laporan berkaitan penipuan vaksin COVID-19 melibatkan kerugian lebih RM285,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob menerusi kenyataan media memaklumkan, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, JSJK telah mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan jualan vaksin secara dalam talian meskipun pihak pengendalian perkhidmatan terlibat sudah mengeluarkan kenyataan menafikan iklan tersebut.

Susulan itu, JSJK tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu pada masa akan datang.

Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa waspada dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab selain peka dengan pengumuman dan arahan semasa kerajaan.

Seperti diumumkan kerajaan, pemberian vaksin dilaksanakan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan mungkin satu penipuan.