Thursday, 4 March 2021

updated 3:31 PM UTC, Mar 4, 2021

Tiga lelaki dihadap ke mahkamah, bunuh dengan niat

  • Published in Jenayah

IPOH, 18 Januari - Tiga lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di Tanjung Rambutan Disember tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh dan hanya mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, N. Aviinesh Sarma, 21 tahun, N Lingeshwarran, 23 tahun, P Siva Raman, 32 tahun dan dua orang yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan kematian K Arun, 34 tahun antara pukul 7.40 malam sehingga 8.45 malam pada 31 Disember 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi dan C Kaladevi.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 18 Mac depan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.