Logo

6 pengawal keselamatan warga Bangladesh ditahan

ALOR SETAR, 16 Januari- Enam pengawal keselamatan warga Bangladesh sebuah kompleks beli belah di Alor Setar, Kedah ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian memukul seorang lelaki tempatan.

Kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 41 tahun itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa berusia 34 tahun meletakkan motosikal di hadapan pusat beli belah berkenaan sementara menunggu ibunya.

Namun tindakan itu dihalang salah seorang pengawal keselamatan sebelum berlaku pergelutan.

Mangsa mendakwa, pengawal keselamatan bersama lima rakan sekerja memukulnya termasuk menggunakan batang penyapu.

Tambah ACP Ahmad Shukri, pengurus pengawal keselamatan terbabit turut membuat laporan polis memaklumkan pekerjanya diserang.

Kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.