Sunday, 17 January 2021

updated 11:42 AM UTC, Jan 17, 2021

Bekas anggota polis berdepan 6 pertuduhan rasuah

  • Published in Jenayah

SHAH ALAM, 13 Januari- Seorang bekas anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,900 pada lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Ridhuan Zohir, 30 tahun, mengaku bersalah keatas semua pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Shahridhuan sebagai seorang penjawat awam berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi telah menerima wang tunai berjumlah RM500 hingga RM800 dari Wong Chiew Hoong tanpa balasan yang mana tertuduh tahu ia ada hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Semua kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di dua lokasi berasingan di dalam daerah Hulu Langat, Selangor antara 5 Oktober 2016 hingga 4 Februari 2017.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan jaminan keseluruhan berjumlah RM35,000 untuk kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah jaminan dapat dikurangkan disebabkan sudah tidak bekerja.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 16 Februari depan untuk pembacaan fakta kes dan hukuman.