Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Kartel daging guna logo palsu, mesyuarat khas bakal diadakan isnin ini

  • Published in Jenayah

KULAI, 4 Disember - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Johor akan mengadakan mesyuarat khas ISNIN ini, susulan pembongkaran kartel daging yang menipu label halal.

Mesyuarat bersama jabatan dan agensi berkaitan serta wakil setiap pelabuhan di Johor itu bagi membincangkan langkah susulan membendung kemasukan daging meragukan.

Exco Negeri, Tosrin Jarvanthi menegaskan kes berkenaan dipandang serius kerana ia memudaratkan pengguna.

Terdahulu, beliau meninjau gudang yang diserbu pihak berkuasa bersama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia, MAQIS Johor dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Jelasnya, pengarah syarikat pembekal makanan sejuk beku yang diserbu itu akan ditahan.

Pengarah berusia 40-an itu adalah warga tempatan.

Suspek akan ditahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen diperlukan ketika diperiksa.

MAQIS dalam serbuan Rabu lalu mengesan satu taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Daging tersebut dibungkus semula menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh negara.