Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Maki dan ludah pekerja wanita, penganggur didenda RM3,000

  • Published in Jenayah

IPOH, 4 Disember - Padah bertindak kasar dengan memaki dan meludah seorang pekerja wanita, penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh.

Majistret Noor Azreenliana Mohd Darus membuat keputusan itu selepas tertuduh, M. Gunalan, 47 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Gunalan didakwa telah mengaibkan kehormatan Nor Asni Zilzawani Mohd Zahid, 22 tahun dengan cara memaki dan meludah dengan niat mengganggu kesantunan wanita berkenaan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh mengganggu sensitiviti antara kaum.

Sebelum ini tular di media sosial, video berdurasi 36 saat memaparkan pertengkaran seorang lelaki dengan wanita.

Kejadian dikatakan berpunca apabila lelaki terbabit tidak berpuas hati selepas ditegur tidak memakai pelitup muka dan enggan mematuhi SOP mencegah COVID-19.

Kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Lahat Baru.