Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Kes dana PTPK: Peguam didakwa atas empat pertuduhan

  • Published in Jenayah


SHAH ALAM, 1 Disember- 
Seorang peguam didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan berhubung kes dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), tiga tahun lalu atas tuduhan menipu anak guamnya sendiri.

Tertuduh, P. Nagarajan, 52 tahun, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan anak guamnya agar tidak ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan penyelewengan dana PTPK sehingga mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM67,000.

Nagarajan dituduh melakukan perbuatan itu di dua buah cawangan bank di Kajang dan kawasan parkir kereta antara 18 September hingga 1 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 22 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.