Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Suspek utama kes samun dan tetak mati bekas Pengarah MARDI kini ditahan

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Suspek utama kes samun dan menetak mati bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong berjaya ditahan.

Ia hasil tiga siri serbuan di Setapak dan Semenyih hari ini.

Datuk Huzir Mohamed berkata, selain suspek utama yang berusia 23 tahun itu, dua lagi suspek turut ditahan di Jalan Genting Klang, Jalan Air Panas, Setapak dan Jalan Rinching, Semenyih pagi tadi.

Penahanan keseluruhan menjadikan 13 suspek berjaya ditahan bersabit kes berkenaan setakat ini.

Hasil siasatan mendapati suspek utama merupakan individu yang bertanggungjawab menetak mangsa.

Datuk Huzir berkata, dengan penangkapan ini juga beberapa siri kes samun didalangi kumpulan itu di sekitar Lembah Klang selesai.

Dalam kejadian pagi kelmarin, rumah mangsa di Bukit Bandaraya, Bangsar dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang manakala dua lagi menunggu di dalam kenderaan.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta wang menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.