Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Ketua sindiket Macau Scam berjaya ditahan

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Polis berjaya menahan seorang suspek lelaki warga China dipercayai mengetuai sindiket Macau Scam di negara ini.

Suspek dikenali sebagai Chen De Wei, 31 tahun ditahan bersama enam individu lain dalam operasi khas di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 15 hingga 20 Oktober lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, Chen De Wei kini bersama enam individu lain iaitu lima warga China dan seorang warga tempatan akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) pada 8 Januari depan selepas tamat reman selama 38 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Susulan tangkapan itu, polis menerusi Ops Dadu Centre melakukan 14 serbuan dan menahan 130 individu.

87 daripadanya direman selama 38 hari.

Sementara itu, suspek utama sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh serta dua anggota polis dikenakan perintah tahanan selama dua tahun mengikut POCA.

Perintah berkenaan dikeluarkan pada 25 dan 26 November lalu sebelum dihadapkan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah dan Keganasan (Kementerian Dalam Negeri) untuk tindakan selanjutnya.

Ke semua mereka kini ditempatkan di Pusat Pemulihan Khas (PPK) Simpang Renggam, Johor, PPK Pokok Sena di Kedah dan PPK Bentong, Pahang.