Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Geng Rusa Boy: Mahkamah mahu laporan perubatan terperinci

  • Published in Jenayah



SUNGAI PETANI, 1 Disember- 
Seramai 23 ahli kumpulan kongsi gelap 'Rusa Boy' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Kumpulan itu diketuai lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai 'Rusa Boy' berusia 20 hingga 58 tahun.

Kesemua tertuduh dibawa ke mahkamah dengan menaiki kenderaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kawasan sekitar mahkamah dikawal ketat anggota polis.

Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Hakim Azman Abu Hassan meminta laporan perubatan terperinci daripada doktor terhadap kesemua tertuduh dikemukakan kepada mahkamah sebelum atau pada 20 Disember ini.

Ia bagi membolehkan mahkamah meneliti tahap kesihatan mereka melalui laporan penuh perubatan itu sebelum sebutan semula kes pada 31 Disember nanti.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah diketuai oleh 'Rusa Boy'.

Kesalahan dilakukan dibawah Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kesemua mereka boleh dihukum penjara untuk suatu tempoh yang tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Oktober lalu, Geng Rusa Boy yang mendalangi kegiatan jenayah terancang termasuk memproses dan mengedar dadah serta mendalangi pelbagai jenayah kekerasan dan pembunuhan di Sungai Petani, Kedah berjaya ditumpaskan.

Tangkapan ke atas mereka dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) dan ini kali pertama tangkapan mengikut akta itu digunakan menerusi operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).