Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Sabotaj perkhidmatan air negara, dua individu hadapi enam pertuduhan

  • Published in Jenayah

RAWANG, 23 November - Dua lelaki termasuk seorang pengarah syarikat menjadi individu pertama yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan sabotaj hingga mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air negara melibatkan Sungai Selangor.

Bagi pertuduhan pertama, mereka boleh dipenjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Tertuduh, R Nathan, 43 tahun dan Lim Kian Aik, 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa dengan niat bersama melakukan sabotaj untuk mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air di Selangor di premis Nombor 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Selayang, antara 2 dan 10 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Nathan dan Kian Aik didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan berbahaya ke dalam tempat rawatan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd juga di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Mereka juga didakwa dengan niat bersama menjalankan aktiviti penstoran luar tapak tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan laporan penilaian daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Nathan dan Kian Aik didakwa dengan niat bersama menempatkan buangan terjadual dan menggunakan premis itu untuk penempatan bahan buangan tanpa lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, di tempat, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenar diikat jamin bagi empat pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka dibenar diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Nathan juga mengaku tidak bersalah menjalankan aktiviti perniagaan di premis sama tanpa lesen dikeluarkan pihak berkuasa melesen.