Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

Miliki senjata berbahaya, kes suami Youtuber masakan ditetapkan pada Januari 2021

  • Published in Jenayah

IPOH, 22 Oktober - Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan 11 dan 12 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes memiliki senjata berbahaya dihadapi bekas pekerja ladang, M Sugu.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan permohonan representasi suami kepada YouTuber masakan, S Pavithra, ditolak.

Permohonan representasi adalah ke atas pertuduhan terhadap Sugu mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sugu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter.

Sugu, 29 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh antara pukul 4 hingga 6 petang pada 21 Julai lalu.

Mahkamah menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pihak pembelaan memaklumkan status terkini berkenaan dokumen dan permohonan representasi kedua.

Pada 17 September lalu, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas tanpa membebaskan Sugu daripada satu lagi tuduhan iaitu mencederakan Pavithra, 28 tahun.

Ia berikutan isterinya itu mengangkat sumpah bagi menarik balik pertuduhan dengan rela tanpa paksaan dan ugutan semasa prosiding.