Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

Bekas pengurus besar kanan FGV Holdings Berhad didakwa minta suapan RM12,000

  • Published in Jenayah

SEREMBAN, 22 Oktober - Seorang bekas pengurus besar kanan FGV Holdings Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen 2, Seremban atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM12,000.

Ia berhubung pelantikan sebuah syarikat untuk kerja pengauditan syarikat milik FGV Palm Industries Sdn Bhd.

Tertuduh, Norazam Abdul Hameed, 52 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Tertuduh didakwa meminta wang suapan sebagai dorongan mengesyorkan pelantikan Syarikat MRA Sustainable Solution sebagai auditor bagi pensijilan International Sustainable Carbon Certification untuk lapan buah kilang sawit.

Antaranya termasuk Kilang Keratong 9, Kilang Maokil, Kilang Bukit Sagu dan Kilang Serting Hilir.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 31 Januari 2019 di Kilang Sawit Palong Timur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun peguam, Mohd Hisyam Mad Nen yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 November depan.