Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

Bunuh suami untuk dapatkan harta

  • Published in Jenayah

KAJANG, 22 Oktober - Seorang suri rumah bersama adiknya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan membunuh suami yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mendapatkan harta pada 1 Oktober lepas.

Tertuduh, Angela Dewi Ganai Sannacy, 45 tahun dan Vijaya Ganai Sannacy, 42 tahun menganggguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret, Muhamad Noor Firdaus Rosli.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat secara bersama telah membunuh mangsa, Devarajoo Rengasamy di Jalan Jati, Rumah Murah PKNS, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang pada 1 Oktober antara 12 tengah hari sehingga 1 petang.

Bagi kesalahan itu, kedua tertuduh didakwa mengikut seksyen 302 kanun keseksaan yang turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen perbicaraan berkenaan.

Tertuduh juga tidak diberi sebarang jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, kedua-dua tertuduh telah berpakat untuk membunuh mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan hartanya yang dianggarkan berjumlah lebih RM2 juta serta insurans nyawa bernilai RM800,000.