Logo

Penganggur edar dadah berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup

SEPANG, 25 September - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan mengedar dadah.

Tertuduh, Wong Yaw Heng, 24 tahun mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan di hadapan Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman.

Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ketamin seberat 1,040 gram di pejabat narkotik, aras 3, KLIA 2, Sepang pada 10.15 pagi, 10 September lalu.

Wong Yaw Heng juga berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 4,208 gram di lokasi dan hari sama pada pukul 12 tengah hari.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 10 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan ketika cuba membawa dadah jenis ketamin dan syabu bernilai RM200,000 melalui KLIA 2.

Mereka ditahan di Balai Pelepasan sebelum menaiki penerbangan ke Miri, oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD KLIA.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.