Monday, 28 September 2020

updated 11:57 PM UTC, Sep 27, 2020

Suami mangsa dihadapkan ke mahkamah, bunuh pensyarah

  • Published in Jenayah

SEPANG, 11 Ogos - Suami seorang pensyarah sebuah universiti awam, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, atas tuduhan membunuh isterinya, di satu lokasi berhampiran tasik di Cyberjaya, dua minggu lepas.

Pertuduhan terhadap Mohd Hairil Izzuan A Samad itu dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes dibawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hairil didakwa membunuh isterinya, Prof Madya Dr Maizatulnisa Othman, berdekatan sebuah tasik di Jalan Persiaran Sepang Cyber di Cyberjaya antara 11 pagi 29 Julai hingga 1 pagi 30 Julai.

Tertuduh yang menangis ketika memasuki mahkamah, meminta mahkamah memberikan masa untuknya mendapatkan perkhidmatan guaman dengan alasan tidak dimaklumkan perlu melantik peguam.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya, kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa keluarga tertuduh telah dimaklumkan mengenai pertuduhan hari ini tetapi tiada ahli keluarga yang hadir.

Majistret Ayuni menetapkan 14 September ini, sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan agar tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.