Monday, 28 September 2020

updated 11:57 PM UTC, Sep 27, 2020

1MDB: Saksi utama dakwa IPP palsu untuk perdaya lembaga pengarah

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Perbicaraan penyelewengan dana 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan, perjanjian untuk perolehan pengeluar kuasa bebas IPP adalah palsu, bertujuan memperdaya lembaga pengarah 1MDB.

Menurut saksi utama, ia hanya menguntungkan bank pelaburan Goldman Sachs, Jho Low dan rakan-rakannya.

Perkara itu dimaklumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi semasa pemeriksaan balas pihak pembelaan.

Beliau mendakwa tidak menyedari perkara itu sebelum ini, tetapi mengaku bahawa ia penipuan tersembunyi.

Prosiding kes kini bertumpu pada pembelian 1MDB Energy (Langat) Limited ke atas Mastika Lagenda Sdn Bhd, yang memiliki 75% kepentingan dalam Genting Sanyen Power.

Syarikat itu memiliki Stesen Janakuasa di Kuala Langat.

Pengambil alihan itu dilaksana tidak lama selepas 1MDB memperoleh Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd pada harga RM10.64 bilion.

Datuk Shahrol Azral juga menegaskan, lembaga pengarah 1MDB memberikannya kelulusan menyeluruh untuk memperoleh aset tenaga bagi syarikat itu.