Thursday, 13 August 2020

updated 2:52 PM UTC, Aug 12, 2020

Judi sabung ayam, 28 lelaki di denda RM20,000 setiap seorang

  • Published in Jenayah

TERENGGANU, 9 Julai - Gara-gara melakukan aktiviti dan berada di lokasi judi sabung ayam, 28 lelaki di denda RM20,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kemaman, Terengganu.

Hakim, Azman Mustaffa menjatuhkan hukuman tersebut selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut selepas pertuduhan dibacakan.

Ini merupakan kes sabung ayam kali pertama di sebut di Mahkamah Sesyen di Terengganu.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan menyabung ayam kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah gelanggang laga ayam pondok tidak bernombor di Jalan Ibok, Ayer Jernih, Kemaman Jumaat lalu ketika kaum lelaki Islam lain menunaikan solat Jumaat.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 32 (2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (5) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Proses pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd. Shahihan Mohd. Tahar.

Hakim turut memerintahkan empat tertuduh lain yang melaga ayam itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Manakala 24 tertuduh yang menonton aktiviti berkenaan termasuk dua warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.