Thursday, 6 August 2020

updated 2:38 PM UTC, Aug 6, 2020

APMM bendung kaedah tangkap ikan cara terlarang

  • Published in Jenayah


KUALA PERLIS, 9 Julai- 
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis terus meningkatkan rondaan dan pemantauan sekitar perairan Kuala Perlis menerusi Ops Benteng Laut.

Dalam operasi awal pagi semalam, APMM berjaya merampas 30 bubu naga yang bernilai RM2,400 di tiga lokasi yang berbeza dari barat daya Kuala Sanglang pada pukul 9.30 pagi hingga 10.45 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kejayaan rampasan bubu naga berkenaan adalah kes ke-5 direkodkan pihaknya sehingga kini.

Secara keseluruhan, 221 bubu naga bernilai hampir RM18,000 dirampas.

Kesemua barang rampasan tersebut kemudian dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Selain membanteras penggunaan bubu naga, APMM turut memberi perhatian yang serius terhadap aktiviti penangkapan ikan dengan menggunakan kaedah rawa sorong, penangkapan ikan di luar kawasan yang dibenarkan dan pencerobohan bot nelayan asing.