Thursday, 6 August 2020

updated 2:38 PM UTC, Aug 6, 2020

Kurung dan pukul, tiga lelaki termasuk dua adik-beradik didakwa di mahkamah

  • Published in Jenayah

TERENGGANU, 8 Julai - Tiga lelaki termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di atas tuduhan mengurung dan memukul seorang jurukimpal.

Dua beradik, Muhamad Hafizhu Zarawi, 33, dan Muhamad Azizu Zarawi, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda.

Manakala seorang lagi tertuduh dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Pertuduhan pertama, mereka didakwa mengurung dengan salah Ahmad Farid Mohammad, 28 dengan tujuan memaksa mangsa memulangkan wang tunai yang mungkin membawa pengembalian harta itu.

Kesalahan itu dilakukan pada 1 Julai lalu dalam sebuah kereta proton wira aeroback di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit kira-kira jam 6.20 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di alamat sama pada jam 6.30 petang hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak lapan ribu ringgit bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.