Thursday, 6 August 2020

updated 2:38 PM UTC, Aug 6, 2020

Anggota polis didakwa terima rasuah dari individu tanpa permit kerja

  • Published in Jenayah


JOHOR BAHRU, 8 Julai- 
Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Johor Bahru, atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM5,300.

Tertuduh, Mohd Rosdi Mohammad, 32 tahun, yang bertugas di Balai Polis Kluang membuat pengakuan, di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan menerima suapan iaitu wang tunai sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap dua pengusaha kilang dan pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja. 

Kesalahan dilakukan sekitar Jun 2016 hingga Mac 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 12 Ogos depan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Atiqah Hambali.