Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

Pembelaan tutup kes, mahkamah bakal dengar hujah 11 September ini

  • Published in Jenayah


KUALA LUMPUR, 30 Jun- 
Pihak pembelaan yang mewakili bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bagi pertuduhan menerima suapan RM2 juta, menutup kesnya hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 11 September untuk mendengar hujahan lisan dari pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum membuat keputusan sama ada Ahli Parlimen Putrajaya itu akan disabitkan atas pertuduhan menerima rasuah atau dibebaskan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujahan bertulis sebelum 14 Ogos dan perlu memfailkan hujahan balasan sebelum 4 September ini.

Pihak pembelaan yang diketuai peguam Datuk Tan Hock Chuan menutup kes hari ini selepas saksi pembelaan keempat iaitu Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah selesai memberi keterangan.

Pada 5 mac lepas, Datuk Seri Tengku Adnan selesai memberi keterangan bela diri selepas memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya 17 Januari lalu.

Pada peringkat pendakwaan pula, Seramai 23 saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Datuk Seri Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.