Sunday, 27 September 2020

updated 12:39 PM UTC, Sep 27, 2020

Peniaga mengaku tidak bersalah hina Sultan

  • Published in Jenayah

JOHOR BAHRU, 30 Jun - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik terhadap Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, Disember tahun lalu.

Tertuduh, Md Haniff Md Yunos, 41 tahun didakwa memuat naik kenyataan itu menggunakan akaun Facebook ‘Haniff Md Haniff Yunos’, pada 1.13 petang, 14 Disember 2019, di Taman Seri Austin Hills, Johor Bahru.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mabel Sheela Victor Muttiah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Lydia Salleh.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, serta memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali.

29 Julai ditetapkan sebagai sebutan semula kes.