Monday, June 1, 2020

updated 2:10 PM UTC, Jun 1, 2020

PATI : TDM tingkat pemantauan di sempadan negara

  • Published in Jenayah


KOTA KINABALU, 17 Mei- 
Pemantauan di semua sempadan Sabah dipertingkatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam usaha memastikannya tidak dibolosi anasir luar.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi memaklumkan, Malaysia telah menubuhkan pasukan petugas kebangsaan bagi menentukan perairan serta daratan negara dalam keadaan selamat.

Jelasnya, kawalan di sempadan penting kerana dibimbangi kemasukan individu luar secara haram berpotensi membawa penularan COVID-19.

"Sebelum pasukan ini ditubuhkan, Panglima Medan Timur diminta untuk mengkaji dan mengetatkan kawalan."

"Seramai 80-150 petugas dikerahkan dalam operasi dinamakan Ops Kerangka untuk memperketatkan kawalan di lorong tikus."

"Sejumlah 23 tangkapan telah dibuat termasuklah lebih kurang 40 pengusiran."

Dinyatakan, kawasan yang memerlukan pemantauan pihak berkuasa adalah terlalu luas, justeru orang ramai disaran menjadi mata dan telinga dalam membantu menyalurkan maklumat.

Tan Sri Ahmad Hasbullah bercakap dalam sidang media selepas lawatan ke Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Lima Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Sementara itu, Tan Sri Ahmad Hasbullah memaklumkan, Seramai 5,000 hingga 7,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia terlibat dalam SJR sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap Pertama hingga PKP Tahap Tiga.

Manakala ketika PKP Bersyarat pula bilangan dikurangkan kepada 4,500 anggota di 218 lokasi SJR seluruh negara.