Wednesday, May 27, 2020

updated 9:43 AM UTC, May 27, 2020

Ibu dan bayi 9 bulan maut, 7 cedera

  • Published in Jenayah


GUA MUSANG, 29 Mac - Seorang doktor bersama bayi yang berusia 9 bulan maut manakala 7 lagi cedera, selepas van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Renok Baru, Gua Musang, Kelantan.

Dalam kejadian pukul 9.50 pagi tadi, Dr. Nooranisah Mohd Razali, 31 tahun, bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, meninggal dunia di lokasi insiden.

Manakala, bayi lelakinya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulhilmi, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Mangsa yang cedera merupakan pemandu van, Mohd Lazim Abdullah, 56 tahun, penumpang van, Dr. Siti Salwa Mohamad Shokri, 38 tahun, Dr. Norazma Mohamad, 34 tahun, Dr. Linda Laili Ibrahim Shukri, 29 tahun, Dr. Suzuanhafizan Omar, 32 tahun, Dr. Hazirah Sazali, 33 tahun dan Syahirah Muhamad Razali, 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kemalangan berlaku ketika semua petugas kesihatan itu, dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Mereka menaiki van Kesihatan Hospital Kuala Krai untuk ke Hospital Gua Musang bagi menjalankan tugas rawatan.

Setibanya di lokasi kemalangan, pemandu van dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh longkang, mengakibatkan van berpusing dan terbalik.

Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dilaporkan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.