Saturday, March 28, 2020

updated 3:10 PM UTC, Mar 28, 2020

Suspek dalam kes bunuh abang direman 7 hari lagi

  • Published in Jenayah

 

 

KEPALA BATAS, 15 Mac - Mahkamah Majistret Alor Star hari ini melanjutkan tempoh reman 7 hari lagi sehingga 22 Mac bagi membantu siasatan kes penjual ayam goreng yang disyaki membunuh abangnya dengan menyimen di dalam tong air.

Perintah perlanjutan dikeluarkan Penolong Pendaftar, Wan Nor Fadzillah Wan Ibrahim.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis berikutan penemuan tong air biru yang disimen mengandungi mayat abangnya di tepi rumah mereka di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas,Alor Setar.

Tong biru itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut.

Kejadian dipercayai ekoran berlaku pertengkaran diantara dua beradik itu, menyebabkan mangsa mengambil sebilah pisau pemotong daging manakala suspek pula menggunakan penyapu untuk mempertahankan dirinya.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai rebah dan meninggal dunia akibat terkena libasan senjata tajam di lehernya sebelum suspek memasukkan mayat abangnya ke dalam tong dan menyimen sehingga ditemui jam 7 pagi Ahad lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.