Tuesday, November 21, 2017
vital-top
updated 9:53 AM UTC, Nov 21, 2017

Martin Yan Antara Penerima Anugerah Antarabangsa CHT

Kuala Lumpur - Chef selebriti masakan Cina, Martin Yan menerima anugerah antarabangsa CHT bagi kategori seni masakan menerusi anugerah CHT Award and Ball 2016.

Chef berasal dari Hong Kong itu mencipta nama di Kanada melalui program televisyen 'Wok with Yan' membabitkan lebih 500 episod bermula sekitar 80-an.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan anugerah 'CHT International Award - Culinary Arts 2016' berupa sebuah trofi pada majlis bertemakan 'Le Connoisseur' itu.

Yan, yang terkenal di seluruh dunia, adalah antara 11 penerima anugerah kategori antarabangsa pada majlis itu selain peserta dari Australia, Amerika Syarikat, Indonesia, Jepun dan Thailand.

Pada majlis itu juga, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada usahawan tempatan, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Sementara itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyampaikan anugerah kepada 13 penerima bagi kategori Malaysia.

Presiden CHT Network, Ch'ng Huck Theng berkata penganjuran anugerah itu bertujuan mendedahkan pencapaian individu di peringkat antarabangsa dan negara.

CHT Network, yang diwujudkan pada 2008, akan terus menjadi platform kepada individu yang mewujudkan rangkaian lebih besar dalam pelbagai bidang.

Turut hadir ke majlis itu ialah Duta Besar Lubnan di Malaysia, Ali Daher, Duta Besar Pakistan di Malaysia, Hassan Raza dan Duta Besar Kemboja di Malaysia, Norodom Arunrasmy.

  • Jumlah paparan: 402