Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Tiga pertuduhan tidak patuh SOP PKPB, Neelofa dan suami mengaku tidak bersalah

  • Published in Hiburan

SEREMBAN, 20 Mei - Selebriti Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd. Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tiga pertuduhan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Neelofa dituduh gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk pada hari kejadian.

Manakala Muhammad Harris menghadapi dua pertuduhan iaitu gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 ke atas Neelofa, manakala RM10,000 ke atas Muhammad Harris.

Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan. 

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis daerah Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam susulan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021 telah tular.