Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

'Adiwiraku' Akan Ditayangkan Pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo

KUALA LUMPUR - Filem 'Adiwiraku' (My Superheroes) yang memenangi tiga anugerah pada Festival Filem Malaysia Ke-29 baru-baru ini akan ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo Ke-30 (TIFF 2017), bulan ini.

Ini dimaklumkan dalam laman web rasmi TIFF 2017.

'Adiwiraku' memenangi hadiah utama Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-29 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu malam, 23 Sept.

Drama itu yang diterbitkan dan diarahkan oleh Eric Ong, berdasarkan kisah benar pelajar SMK Pinang Tunggal di Baling, kawasan luar bandar di Kedah.

"Sangeeta Krishnasamy memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik bagi wataknya sebagai guru, Cheryl yang dihantar bertugas ke sebuah sekolah di kawasan luar bandar untuk memberi dorongan kepada pelajarnya mengambil bahagian dalam pertandingan Bicara Berirama dalam bahasa Inggeris.

Penerbit eksekutif dan penulis layarnya, Jason Chong memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik.

TIFF 2017 dari 23 Okt hingga 3 Nov akan berlangsung di Teater Rappongi di Tokyo, menghimpunkan ribuan penerbit filem, peminat filem, profesional, pelajar serta golongan perniagaan dan pembeli kandungan daripada seluruh dunia pada acara tahunan berprestij itu.

Tahun ini merupakan edisi ke-30 TIFF, satu-satunya festival filem Jepun yang diiktiraf Persekutuan Persatuan Penerbit Filem Antarabangsa.

TIFF 2017 membabitkan pertandingan bagi pelbagai kategori, mempelawa penyertaan daripada seluruh dunia seperti Pertandingan Rasmi (Antarabangsa, Antarabangsa Asia, Jepun), Pertandingan Selamatkan Bumi! yang bertemakan alam sekitar, Pertandingan Muzik Video (MV) yang mewakili MV rasmi dan unik dari seluruh dunia dan Pertandingan Animasi CG.

(Sumber - Bernama)