Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 1:27 AM UTC, Oct 17, 2017

MDEC Mahu Jadikan Malaysia Hab Kreatif Serantau

CYBERJAYA - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) mahu menjadikan Malaysia sebagai hab kreatif serantau yang dapat membangunkan bakat dan industri untuk memenuhi keperluan serantau dan global.

Ketua Pengarah Eksekutifnya Datuk Yasmin Mahmood berkata tahun lepas, sektor kreatif dan teknologi negara menunjukkan pengukuhan dan kekuatan dalam nilai pengeluaran serta ekonomi.

“Industri kreatif Malaysia sudah matang kerana ia mempunyai pemain globalnya sendiri. Antaranya ialah Les’ Copaque Sdn Bhd menerusi ‘Upin & Ipin’ yang dikenali di seluruh dunia sehingga ia menjadi duta Unicef Malaysia,” katanya.

Beliau berkata semua pemain industri kreatif dan animasi di Malaysia patut tahu bahawa kerajaan menerusi MDeC amat menyokong mereka dan mahu memastikan mereka pergi lebih jauh, bukan hanya dari segi kreativiti tetapi juga meneroka bidang perniagaan.

Katanya Les’ Copaque yang 80 peratus pendapatannya diraih daripada pelesenan dan barangan, kini turut mengoperasikan Akademi Animasi Les’ Copaque dengan dua fakultinya, animedia dan perniagaan kreatif, bermula hujung tahun ini.

Datuk Yasmin meluahkan keinginan untuk melihat harta intelek baharu Malaysia yang mempunyai kaitan dengan warisan negara seperti Puteri Gunung Ledang agar Malaysia juga mempunyai persona tersendiri seperti ‘Mulan’ dan ‘Pocahontas’.

((BERNAMA))