Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 1:27 AM UTC, Oct 17, 2017

PM Ucap Tahniah Kepada Penari Sabah Juara Dunia

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada sekumpulan penari Sabah yang baru-baru ini memenangi pingat emas dan Anugerah Pilihan Pengerusi di kejohanan Tarian Piala Dunia 2017 di Jerman.

“Adalah amat membanggakan melihat anak-anak muda negara, dari Kota Belud, Sabah ini mengibarkan bendera Malaysia di pentas antarabangsa, mengalahkan lebih 12,000 peserta dari 47 negara,” katanya dalam ucaptama di Forum Ekonomi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2017 di sini.

Terdahulu beliau dan peserta forum dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh penari-penari TOBISA-WindBreeze Dance Company, di bawah naungan Sabah United Tobilung Association.

Semasa pertandingan itu di Jerman pada 4 Julai, Matinin Sungkin,17, daripada Persatuan Tobilung Bersatu Sabah, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi, Kota Belud, memenangi pingat emas bagi kategori ‘Junior Solo’.

Selain Matitin, sekumpulan pelajar lagi daripada pelbagai sekolah di Kota Belud, yang mengambil bahagian dalam kumpulan 10 anggota penari, muncul bukan sahaja sebagai juara di bawah kategori Impak Tarian, tetapi juga sebagai pemenang Chairman's Choice Award (Anugerah Pilihan Pengerusi) .

Sementara itu, seorang lagi pelajar Mohd Farihin Abdullah,11, ialah pemenang pingat gangsa bagi kategori solo kanak-kanak (Solo Children National).

Datuk Seri Najib berharap kesemua penari berkenaan akan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka minati itu.

((BERNAMA))