Wednesday, October 18, 2017
vital-top
updated 3:22 AM UTC, Oct 18, 2017

Teater Muzikal Olabola Dipentaskan Di Istana Budaya

KUALA LUMPUR  - 'OlaBola The Musical' produksi terbaru syarikat hiburan Malaysia, Enfiniti akan dipentaskan di Istana Budaya dari 22 Feb hingga 22 Mac 2018.

Diarahkan oleh produser dan pendukung seni persembahan Tiara Jacquelina, teater muzikal ini susulan kejayaan Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee The Musical dan MUD: The Story of Kuala Lumpur.

Teater muzikal ini akan menjadi peristiwa penting bagi Enfiniti kerana pengasasnya, Tiara Jacquelina bakal buat julung kalinya, berperanan sebagai pengarah bagi produksi yang sangat dinanti-nantikan ini, menurut kenyataan akhbar mengenai muzikal itu.

Ia adalah mengenai bagaimana rakyat negara ini berhimpun dan bersatu di belakang pasukan Harimau Malaya.

"Mendapat inspirasi daripada filem ini, saya melihat peluang untuk membawa OlaBola ke pentas teater untuk rakyat kita merasai semula dan mengalami pengalaman kisah Malaysia yang begitu menginspirasikan.

"Ini adalah satu daripada kisah seumpamanya yang harus dikongsi semula dan seterusnya menjadi inspirasi kepada audiens baharu dan negara secara lebih meluas. Setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan kongsi kami, Astro Shaw, Golden Screen Cinemas dan Multimedia Entertainment kerana mempercayai Enfiniti untuk mengadaptasi OlaBola ke pentas," kata Tiara Jacquelina.

Teater muzikal ini akan menjadi pementasan pertama di Istana Budaya pada Februari 2018, selepas ia diubah suai.

Enfiniti akan bekerjasama dengan pengarah muzik terkemuka, Saiful Ridzuan a.k.a. Duan of Seven Collared T-Shirt dan pereka set Raja Malek bersama pasukan produksi dan kreatif yang hebat, yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

(Sumber - Bernama)