Thursday, August 16, 2018
vital-top
updated 8:36 AM UTC, Aug 2, 2018

Farid Kamil Mahu Kemuka Representasi Gugur Semua Pertuduhan

  • Published in Hiburan
Foto - Bernama

PETALING JAYA — Pelakon dan pengarah filem terkenal Datuk Farid Kamil Zahari bercadang mengemukakan representasi ke Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan enam pertuduhan yang dihadapinya termasuk mencederakan anggota polis, menggunakan dadah dan mereka keterangan palsu dalam laporan polis.

Peguam Faizul Mohd Nasir, yang mewakili Farid Kamil, 37, memaklumkan perkara itu semasa sebutan semula enam pertuduhan yang dihadapinya di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Di hadapan Majistret Salamiah Salleh dan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, peguam itu memberitahu bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang diterima daripada pihak pendakwaan dan berkemungkinan mengemukakan representasi.

Beliau kemudian memohon satu tarikh sebutan baharu iaitu selepas Farid Kamil, yang juga suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle, selesai menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital di Damansara pada 15 Mei ini.

 

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee dan Fazeedah Faik tidak membantah permohonan peguam itu.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes bagi enam pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Farid Kamil yang memakai kemeja putih lengan panjang dan seluar denim biru, tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi bersama-sama pengurusnya dan beberapa rakan lelaki.

Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

((BERNAMA))